Sarawak miliki 37 balai bomba, terbanyak di Malaysia

Pegawai dan anggota BBP Kidurong.
Advertisement

KUCHING, 2 April: Sarawak hari ini mempunyai 37 buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu yang terbanyak di Malaysia.

Pengarah Bomba Sarawak Datu Khirudin Drahman berkata semalam (1 April), BBP Kidurong iaitu balai bomba yang ke-37 mula beroperasi secara rasmi dengan kekuatan anggota seramai 28 orang yang diyakini mampu meningkatkan ‘Response Time’ khususnya di Zon 5 Bintulu.

Katanya, BBP Kidurong juga dilengkapi kekuatan aset iaitu sebuah jentera pemadaman, sebuah jentera utiliti dan sebuah bot penyelamat.

Advertisement

“Sarawak sekarang ini memiliki jumlah BBP yang terbanyak di Malaysia, selepas Selangor sebanyak 36 buah balai, Perak (34), Johor (33) dan Pahang (26).

“Semoga masyarakat setempat mendapat manfaat dan impak positif hasil daripada penyampaian perkhidmatan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya juga, BBP Kidurong dibuka di bangunan komersial sedia ada.

“Perolehan BBP Kidurong ini sangat unik kerana buat julung kalinya ia dibuat melalui perolehan bangunan komersial yang hanya dengan kos perolehan tanah dan bangunan dianggarkan keseluruhan bernilai RM1.27 juta.

“Kos ini jauh rendah berbanding pembinaan balai bomba bagi kategori D yang kebiasaannya menelan kos perolehan sehingga RM7 juta secara purata,” katanya.

Jelasnya juga, BBP Kidurong merupakan balai bomba kategori D yang ke-9 selepas BBP Asajaya, Tanjung Manis, Daro, Selangau, Sibu Jaya, Belaga, Tatau dan Batu Niah.

“Pada tahun 2015, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak mengambil alih bangunan kerajaan sedia ada untuk dijadikan BBP Tatau dengan kos kira-kira RM3 juta.

“Justeru, diharapkan masyarakat di Kidurong mendapat manfaat dengan adanya balai bomba baharu ini khususnya daripada perkhidmatan yang disediakan pegawai dan anggota BBP Kidurong kelak,” kata Khirudin.

Advertisement