Sarawak mahu majlis pembukaan Sukan Sea 2027 di Kuching

Abdul Karim Rahman Hamzah
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 26 Ogos: Sarawak mahu acara pembukaan Sukan Asia Tenggara (Sea) 2027 diadakan di Kuching, kata Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut beliau, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sudah memohon dari Kerajaan Pusat agar ia diadakan di Kuching.

Advertisement

“Majlis pembukaan Sukan Sea 2027 mesti diadakan di Kuching, kerana bagi kita ia amat penting.

“Acara penutupan boleh diadakan di Kuala Lumpur atau di mana sahaja pilihan Kementerian Belia Dan Sukan, kita serahkan kepada kementerian,” katanya pada satu sidang media di Kuching hari ini.

Tambah Abdul Karim, pada sukan itu nanti, Sarawak (Kuching) akan menjadi venue kepada 18 acara sukan daripada 36 secara keseluruhan.

Namun katanya, ia belum lagi muktamad kerana pemilihan acara bergantung kepada kemudahan sedia ada.

“Tahun 2027 tidak lama lagi, kita harus mewujudkan jawatankuasa dan melihat kemudahan mana yang harus dinaiktaraf.

“Saya berharap velodrom basikal sudah siap menjelang 2027, sebab saya ingin melihat acara basikal diadakan di Kuching,” ujar Abdul Karim.

Pada Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk menjadikan Sarawak sebagai tuan rumah bersama bagi penganjuran Sukan SEA 2027.

Ia susulan kejayaan Sarawak menganjurkan Sukan Malaysia ke-21 yang terbaik pernah diadakan di negara ini. — DayakDaily

Advertisement