Sarawak enggan bergantung kepada kerajaan pusat untuk menganjurkan acara membangunkan kebudayaan, kesenian, pelancongan

Abdul Karim (empat dari kanan) merasmikan Action Call Sundowner Party What About Kuching (WAK) 2019.

KUCHING, April 17: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak tidak mahu bergantung kepada kerajaan pusat bagi menganjurkan acara membangunkan kebudayaan, kesenian dan mempromosikan pelancongan Sarawak tahun ini.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini kerana tahun lepas kerajaan pusat hanya memberi peruntukan sebanyak RM150,000 kepada negeri ini bagi menganjurkan acara tersebut.

“Kami (kementerian) tidak amat perlukan kerajaan pusat bagi membantu kami; tahun lepas mereka hanya memberi kami sebanyak RM150,000 bagi (menganjurkan) acara, tidak banyak yang boleh kami lakukan,” katanya ketika merasmikan Action Call Sundowner Party What About Kuching (WAK) 2019, di sebuah hotel di sini pada Isnin lepas.


Majlis tersebut juga dihadiri Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin.

WAK 2019 menjadi landasan bagi komuniti kreatif bandar raya ini membuat persembahan bakat kebudayaan, kesenian dan gaya hidup mereka kepada orang ramai dan pelancong dan akan berlangsung kali ketiga di bandaraya ini dari Sept 28 sehingga Okt 27, 2019.

Abdul Karim berkata ini juga kerana kerajaan Sarawak dibawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa bersedia bagi membantu kementerian itu terutamanya dalam menganjurkan acara terbabit.

“Ketua Menteri akan sentiasa ada menyokong kita, sekiranya ia (acara kesenian dan kebudayaan) sesuatu yang boleh mempromosikan Sarawak dan sesuatu yang boleh membangunkan kesenian dan kebudayaan kita,” katanya.

Abdul Karim berkata ini membolehkan kementerian tersebut memberi peruntukan lebih besar kepada penganjuran WAK 2019 selepas meningkatkan peruntukan itu tahun lepas dan mempelawa orang ramai yang terbabit kegiatan kebudayaan, kesenian dan gaya hidup di bandar raya ini untuk menghantar cadangan bagi membuat persembahan di acara itu nanti.

Beliau juga mencadangkan penganjur acara WAK 2019 mengadakan kerjasama dengan komuniti kreatif serata dunia dan berusaha membawa mereka ke Sarawak dengan kerajaan negeri bersedia membantu sekiranya kos perbelanjaannya terlalu tinggi.

Ini kerana acara WAK 2019 semakin berkembang penyertaannya setiap tahun dan kerajaan Sarawak juga menambah peruntukan bagi penganjurannya tahun ini supaya dapat menjadikannya acara kesenian dan kebudayaan yang dikenali peringkat antarabangsa seperti Festival Edinburgh di Scotland. — DayakDaily