Penantian rumah panjang baharu bakal berakhir buat penduduk Rh Amu Sengkuang Tinting, Kemayau

Jugah mengendalikan jentolak sebagai simbolik perasmian upacara pecah tanah.

KUCHING, April 17: Hasrat mahu membina sebuah rumah panjang baharu akan menjadi kenyataan buat 21 keluarga penduduk Rumah Amu Sengkuang Tinting Kemayau, Lubok Antu.

Keinginan penduduk rumah panjang tersebut telah mendapat perhatian Ahli Parlimen(MP) Lubok Antu Jugah Muyang dan bakal menjadi hadiah awal perayaan Gawai tahun ini.

Penantian mereka bakal berakhir apabila tapak untuk mendirikan rumah panjang baharu akan mula diratakan dalam tempoh terdekat.

Pada Ahad lepas (April 14), Jugah telah merasmikan upacara pecah tanah tapak tersebut dan turut dihadiri kira-kira 100 orang penduduk Rumah Amu Sengkuang Tingting Kemayau.

Jugah(berdiri enam kanan) di upacara pecah tanah Rumah Panjang Amu Sengkuang Tinting Kemayau, Lubok Antu pada Ahad (April 14, 2019) lepas.

“Kerajaan persekutuan sentiasa berusaha memberi kemudahan terbaik untuk rakyat agar mereka dapat mengecapi kemajuan dan pembangunan yang dirancang.

“Usaha ini seterusnya mampu menjana ekonomi yang dapat menaik taraf kehidupan masyarakat luar bandar.

“Aspek itu menjadi dasar utama dalam perancangan kerajaan melalui pelbagai projek pembangunan bagi memajukan rakyat,” katanya di upacara pecah tanah itu.

Justeru itu, Jugah meminta rakyat di kawasan Parlimen Lubok Antu memberi kerjasama kepada kerajaan persekutuan ketika projek pembangunan dilaksanakan di penempatan masing-masing.

Masyarakat harus terus memberikan sokongan penuh kepada kerajaan Pakatan Harapan(PH) demi merealisasikan agenda dan dasar pembangunan yang telah disusun, ujar beliau. — DayakDaily