Sarawak destinasi utama pelaburan luar

Awang Tengah (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah prestasi cemerlang kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 19 Feb: Sarawak pada tahun 2020 berjaya menduduki tempat ke-2 sebagai pilihan utama destinasi pelaburan di antara negeri-negeri di Malaysia.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ia melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM16 bilion dalam sektor perkilangan.

“Manakala bagi tahun 2021, Sarawak berjaya menarik pelaburan dengan nilai sebanyak RM7.1 bilion,” katanya dalam ucapan di Majlis Apresiasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) 2021 di Kuching pada semalam.

Tambah Awang Tengah yang Menteri MINTRED, di bawah RMK-12, Kementerian akan melaksanakan 45 projek pembangunan di seluruh negeri dengan peruntukan berjumlah RM228.2 juta.

Setakat ini katanya, sebanyak 12 buah projek sedang dalam peringkat pembinaan manakala yang lain-lain dalam pelbagai peringkat pelaksanaan seperti pertapakan, pelantikan juruperunding dan rekabentuk.

“Sehubungan itu, saya menyeru agar semua pegawai dapat memberikan komitmen dan kerjasama yang padu bagi memastikan projek-projek yang telah dirancang oleh Kementerian ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujar beliau. — DayakDaily