Oleh Chris Bishop
KUCHING, 22 Jun: Sarawak memperuntukan RM200 juta bagi kos membaikpulih sekolah dan klinik daif, pendahuluan kepada kos yang sepatutnya ditanggung Kerajaan Persekutuan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia sudah tentu memberi kesan positif dalam membangunkan kawasan luar bandar.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah bersetuju dengan kaedah ini.
“Ia akan dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan, mempercepatkan serta membaikpulih sekolah dan klinik daif,” kata Abang Johari.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Sambutan Hari Gawai 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini yang turut dihadiri Anwar.
Tambah Abang Johari, daripada jumlah tersebut, RM100 juta adalah untuk sekolah dan RM100 juta lagi untuk klinik daif.
Katanya, ia adalah satu kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pusat dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar.
“Sekadar ingin memaklumkan, bolehkah bayar balik nanti,” ujar Abang Johari. — DayakDaily