Sarawak catat PNGK 2.64 dalam STPM 2017

Kelihatan pelajar STPM 2017 yang mendapat keputusan cemerlang di SMK Batu Lintang, Kuching.

KUCHING, Mac 6: Sarawak mencatatkan keputusan yang memberangsangkan dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 apabila mencatatkan peningkatan dalam Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) iaitu 2.64 berbanding PNG 2.59 pada tahun lalu.

Pengarah Pendidikan Sarawak Rakayah Madon berkata, seramai 51 calon atau 0.96 peratus pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh negeri ini berjaya mencapai PNGK 4.00 pada tahun ini.

Manakala, ujarnya, seramai 1,726 orang atau 33.59 peratus memperoleh PNGK 3.00 ke atas berbanding 1,428 orang atau 29.94 peratus pada 2016.


“Statistik tersebut menunjukkan pertambahan seramai 298 calon atau peningkatan sebanyak 3.65 peratus pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, secara keseluruhan, seramai 5,055 orang pelajar atau 98.17 peratus calon sekolah berjaya memperoleh sijil STPM pada tahun ini berbanding 4,680 calon atau 98.11 peratus tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah calon itu, seramai 15 calon atau 0.29 peratus lulus penuh dalam lima mata pelajaran (5P), 3,370 calon atau 65.45 peratus pula lulus penuh dalam empat mata pelajaran (4P).

“Seramai 923 calon atau 17.93 peratus pula lulus penuh dalam tiga mata pelajaran (3P), 477 calon (9.26 peratus) lulus penuh dalam dua mata pelajaran (2P), manakala 270 calon (5.24 peratus) lulus penuh dalam satu mata pelajaran (1P),” ujarnya.

Jelas Rakayah, dalam keputusan STPM 2017, seramai tiga pelajar berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang.

Katanya, pelajar terbabit ialah Bonnie Chong Kai Hui dari SMK Green Road, Kuching, Ervina Tang Sze Cheen dari SMK Chung Hua, Sibu dan Ebelind Min Slanjat dari SMK St. Augustine, Betong

“Manakala, seorang pelajar telah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) 2017 di Wayne Ho Xiun Liang dari SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor.

Tambahnya, terdapat 24 buah sekolah telah mencapai keputusan STPM 2017 yang sangat memberangsangkan iaitu PNGK melebihi 2.80.

Katanya, pencapaian tersebut menunjukkan pertambahan bilangan sekolah yang memperoleh PNGK melebihi 2.80 yang amat ketara jika dibandingkan pencapaian tahun 2016 iaitu pertambahan sebanyak 4 buah sekolah.

SMK Sacred Heart, Sibu dianugerah sekolah pencapaian terbaik STPM 2017. — DayakDaily