Kilang perabot musnah terbakar, kerugian dianggar sebanyak RM8 juta

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran di sebuah kilang perabot.

SIBU, Mac 6: Sebuah kilang perabot dan peralatan pejabat di Jalan Industri Pertama, Taman Kristal Bandar Baru Sibu Jaya di sini musnah dalam kebakaran dalam satu kejadian hari ini.

Kejadian kira-kira 8.10 pagi itu mengakibatkan keseluruhan kilang tersebut terbakar 100 peratus.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 8.12 pagi.


Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dan BBP Sungai Merah kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 9.05 pagi sebelum memadamkan sisa-sisa kebakaran sehingga selesai.

“Siasatan lanjut, mendapati tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kerugian akibat kejadian dianggar kira-kira RM8 juta.

Jelasnya, hasil maklumat awal, punca kebakaran berlaku disyaki akibat litar pintas dalam kilang tersebut dan kesemua barangan perabot dan peralatan pejabat terbakar.

“Tiada unsur-unsur jenayah atau khianat dikesan di lokasi kejadian,” katanya lagi. — DayakDaily