Sarawak cadang Unimas wujudkan Program Guru Khas

Abang Johari berucap di Perasmian Hari Wanita Sarawak 2023.

KUCHING, 18 Mac: Kerajaan Sarawak mencadang Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mewujudkan Program Guru Khas.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi melahirkan tenaga pengajar terlatih bagi pembelajaran di peringkat kanak-kanak.

Katanya, cadangan tersebut telah dibincangkan dengan Naib Canselor Unimas Datuk Dr Mohd Kadim Suaidi pada semalam.


“Program Guru Khas bersama Unimas ini adalah supaya kita dapat melahirkan guru yang dilatih dari sudut psikologi, philosopi dan juga bagaimana menguruskan anak-anak yang masih kecil,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian di Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

Tambah beliau, guru terlatih ini nanti boleh melihat potensi anak-anak yang mungkin cenderung kepada persembahan seni, sukan, sains dan lain-lain.

Justeru katanya, Sarawak mesti melahirkan guru-guru yang dilatih dalam aspek tersebut.

“Ia bukan senang kerana melibatkan kajian psikologi dari sudut kemampuan anak-anak kita.

“Matlamat saya ialah apabila anak dikenalpasti, mereka akan dilatih dalam jurusan yang sesuai untuk mereka,” kata Abang Johari.

Menurut beliau, selepas program ini diluluskan senat Unimas, kerajaan Sarawak akan menyediakan pembiayaan kewangan kepada pelajar. — DayakDaily