Kerajaan setuju beri RM2.5 juta Geran Modal Pemerkasaan Wanita

Abang Johari (dua kanan) menyampaikan Anugerah Premier Sarawak Keusahawanan Wanita kepada Natasha. Turut kelihatan Fatimah (dua kiri).

KUCHING, 18 Mac: Kerajaan bersetuju menyediakan sejumlah RM2.5 juta bagi tujuan meneruskan Geran Modal Pemerkasaan Wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia bakal memanfaat seramai 2,500 orang wanita yang layak.

“Ini adalah sebagai usaha memperkasa penyertaan wanita terutamanya ibu tunggal dan ketua isi rumah B40 dalam bidang ekonomi dan menjana pendapatan sendiri.

“Menyedari bahawa memperkasakan wanita bukan sahaja melibatkan latihan menjana pendapatan bahkan juga perlu ada geran modal keusahawanan,” katanya.

Fatimah berkata demikian di Majlis Sambutan Hari Wanita 2023 yang telah dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Penview di sini, hari ini.

Abang Johari dalam ucapan perasmian telah bersetuju memperuntukan RM2.5 juta bagi tujuan tersebut pada tahun ini.

Tambah Fatimah, Jabatan Wanita Dan Keluarga Sarawak (JWKS) telah melatih 24,580 dalam bidang kulinari, kecantikan, spa serta urut dan jahitan semenjak 2015.

Terdahulu, Geran Modal yang diterima ialah RM500,000 pada tahun 2018, RM1 juta pada tahun 2019 dan RM2 juta pada tahun 2020.

Pada Sambutan Hari Wanita 2023, Norjanah Razali dipilih sebagai penerima Anugerah Premier Sarawak Kepimpinan Wanita.

Manakala Natasha Nasa Douglas Uggah dipilih sebagai penerima Anugerah Premier Sarawak Keusahawanan Wanita, Manjeet Kaur Sidhu (Anugerah Premier Sarawak Penggiat Sosial Wanita), Christina Thomas Mamora (Anugerah Premier Sarawak Pencapaian Khas).

The Society for Kuching Urban Poor (SKUP) pula dipilih sebagai penerima Anugerah Premier Sarawak NGO Cemerlang.

Turut hadir isteri Abang Johari, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang. — DayakDaily