Sarawak buru emas acara tenis, atasi Sabah 4-1

Aksi perseorangan pertama Sarawak Mathew Goh.
Advertisement

KUCHING, 16 Ogos: Buruan pingat emas bagi acara berpasukan tenis Sarawak di Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21 bermula hari ini dengan kemenangan 4-1 mengatasi Sabah.

Assistant Chef de Mission (Tennis) Dato Henry Harry Jinep yang menyaksikan perlawanan pembukaan di Kompleks Tenis SLTA itu berpuas hati dengan persembahan para pemain.

Henry yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, kemenangan tersebut membuktikan bahawa latihan intensif yang diadakan selama ini membuahkan hasil.

Advertisement

“Walaupun permulaan agak perlahan (perseorangan pertama lelaki dan beregu lelaki), namun pemain-pemain telah meningkatkan mutu permainan mereka dan akhirnya menang.

“Inilah bukti latihan intensif dan pendedahan di luar negara yang kita beri kepada pemain,” kata Henry.

Dalam aksi pembukaan, mata pertama Sarawak diperolehi menerusi perseorangan pertama Mathew Goh dengan kiraan 6-4, 6-0 mengalahkan Rus Zareef.

Pasangan beregu lelaki Sarawak Ayden Shah-Raidon Tan menang 6-0, 4-6, 10-5 (tie break) mengatasi Mohamad Asyahmie-Samuel Benjamin.

Beregu wanita Sarawak Hii Xin-Nathanielle pula menang 6-2, 6-3 mengatasi Miza Rasidah-Jashnavissri A/P Uigneswaran.

Manakala beregu campuran Sarawak Shieng Wee Hii-Lydia Liong pula menang 6-1, 6-1 mengatasi Chee Sao Yang-Kyra Vamsikrish.

Sabah mengutip satu mata menerusi perseorangan wanita Elena Mishra yang mengalahkan Hui Yii Soo dengan kiraan 4-6, 6-3, 1-0 (ret).

Abdul Karim dan Henry bersama skuad tenis Sukma Sarawak di acara pembukaan. Turut kelihatan Gerald dan Patrick.

Sarawak yang sudah mengesahkan tempat di pusingan suku akhir akan menentang Selangor esok bagi menentukan juara kumpulan.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Tenis Sarawak Arvin Tabil Jurao ketika ditemui yakin Sarawak boleh memenangi pingat emas dalam acara berpasukan dan beregu wanita individu.

Tambah Alvin, pasangan beregu wanita Sarawak Lydia Liong-Hui Yii Soo baru-baru ini telah memenangi sirkit kebangsaan kategori umur di Kuala Lumpur.

Justeru beliau yakin, kedua-dua mereka boleh mengekalkan momentum dan menghadiahkan satu pingat emas kepada Sarawak.

Acara pembukaan hari ini telah dirasmikan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia Dan Sukan Dato Gerald Rentap dan Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) Dato Patrick Liew. — DayakDaily

Advertisement