Sarawak berusaha wartakan banyak lagi kawasan sebagai hutan simpan kekal – Abu Bakar

Abu Bakar (empat dari kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada pegawai penyelidik Jabatan Hutan Sarawak Runi Sylvester Pungga.

KUCHING, 7 Sept: Sarawak pada masa akan datang berusaha untuk mewartakan lebih banyak lagi kawasan sebagai Kawasan Hutan Simpan Kekal di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, Jabatan Hutan Sarawak sebagai agensi bertanggungjawab boleh mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak untuk mengenalpasti kawasan-kawasan yang sesuai untuk diwartakan nanti.

“Sebagai sebuah negeri yang mempunyai kadar kawasan berhutan tertinggi di Malaysia, Jabatan Hutan Sarawak perlu memainkan peranan yang lebih komprehensif bagi memastikan khazanah ini terus dipelihara dan dilindungi.


“Jabatan Hutan Sarawak boleh mengenalpasti usaha yang dapat dilaksanakan bagi meningkatkan sumber-sumber pendapatan negeri.

“Ini melalui Revenue Re-Engineering seperti carbon alternatif trading, sumber air, eko-pelancongan perubatan dan Non-Timber Forests Products (NTFP),” katanya.

Beliau berkata demikian di Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Hutan Sarawak yang diadakan di sebuah hotel di sini, malam ini.

Abu Bakar yakin bahawa Jabatan Hutan Sarawak memiliki keupayaan untuk mengekalkan keluasan kawasan berhutan di negeri ini.

Katanya, ini kerana Sarawak mempunyai polisi gunatanah yang jelas dan serta selari dengan dasar-dasar pembangunan Kerajaan Negeri yang lain.

Melalui polisi ini tambah beliau, seluas 6 juta hektar telah diperuntukkan sebagai Kawasan Hutan Simpan Kekal dan 1 juta hektar pula sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata Industri Ladang Hutan memainkan peranan yang penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada hutan asal untuk mendapatkan sumber bahan mentah bagi menampung industri perkayuan di negeri ini.

“Oleh itu Kerajaan Negeri komited untuk memastikan pembangunan ladang hutan dapat mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu 1 juta hektar menjelang Tahun 2025.

“Jabatan Hutan Sarawak perlu mengambil tindakan yang sewajarnya selaras berlandaskan undang-undang serta syarat-syarat lesen ladang hutan supaya tindakan yang lebih tegas dapat diambil kepada para pelesen yang ingkar,” ujarnya.

Manakala berkaitan dengan pelaksanaan program restorasi landskap hutan atau kempen penghijauan Sarawak pula, beliau mahu ia dilaksanakan secara sistematik untuk memastikan program mencapai objektifnya. — DayakDaily