Kompleks Sukan Maksak bakal dibina

Mohamad Abu Bakar ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Juara Jabatan Premier Sarawak. Foto: Ukas

KUCHING, 4 Mac: Sebuah kompleks sukan bagi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) bakal dibina untuk para penjawat awam, kata Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Mohamad Abu Bakar berkata, pembinaan kompleks tersebut adalah sebagai tempat beriadah di samping tempat latihan bagi pertandingan sukan yang akan datang.

“Kerajaan Sarawak telah memberi sebidang tanah dan kita sekarang merancang untuk membina satu kemudahan.


“Dengan siapnya Komplek Sukan Maksak nanti, anda semua (penjawat awam) mempunyai tempat untuk beriadah.

“Di samping itu, anda boleh berlatih sukan-sukan untuk pertandingan yang akan datang dan kami sekurang-kurangnya dapat menyediakan tempat yang sesuai,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Juara Jabatan Premier Sarawak (JPS) di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Abu Bakar turut mengucapkan tahniah kepada JPS yang telah berjaya memperoleh kejayaan yang membanggakan untuk Karnival Sukan Karnival Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS). — DayakDaily