Sarawak bertegas tidak lepaskan hak-hak sebagai rakan kongsi penubuhan Malaysia — Abang Johari

Abang Johari berucap di Sambutan Hari Sarawak 2024 di Bintulu. Foto: JaPen
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Julai: Sarawak bertegas tidak melepaskan hak-haknya apabila menjadi rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sebaliknya kata Abang Johari, semua hak Sarawak seperti yang terkandung dalam lunas undang-undang Sarawak sebelum Malaysia akan kekal berkuatkuasa jika tidak dipinda di Parlimen dengan persetujuan Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Advertisement

“Sebagai contoh, arahan yang dibuat oleh Ratu Elizabeth pada tahun 1954 berkenaan persempadanan Sarawak menyatakan bahawa sempadan laut Sarawak dipanjangkan sehingga ke pelantar benua termasuk dasar laut dan di bawah dasar laut.

“Inilah antara hak-hak yang dibawa oleh Sarawak ketika bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Singapura pada 16 September 1963 yang tidak boleh diserahkan kepada pihak lain.

“Ini adalah antara perkara yang tidak boleh dirunding seperti yang saya tekankan sebelum ini,” katanya.

Abang Johari berkata demikian di Perasmian Sambutan Hari Sarawak 2024 di Bintulu malam ini.

Contoh kedua tembah beliau ialah berkenaan Kanun Tanah Sarawak, berkuatkuasa pada 1958 yang memberi Sarawak kuasa penuh untuk menguruskan apa-apa yang berada di bumi Sarawak.

Katanya, ia merangkumi sumber-sumber di pelantar benua, di dasar laut dan di bawah dasar laut termasuk aktiviti penyimpanan karbon.

“Contoh ketiga ialah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) yang tidak dapat menidakkan hak Sarawak ke atas sumber dan gas di luar pantai Sarawak.

“Selain itu, Territorial Sea Act (2012) yang menghadkan sempadan laut hanya sejauh 12 batu nautika juga tidak dapat menidakkan hak Sarawak ke atas persempadanan lautnya yang merangkumi kawasan luar pantai dan pelantar benua sejauh 200 batu nautika,” ujarnya.

Abang Johari turut menjelaskan bahawa contoh keempat ialah Ordinan Minyak dan Perlombongan Sarawak 1958 (OMO 1958) yang memberi kuasa kepada Sarawak untuk menguruskan dan membangunkan sumber minyak dan gasnya.

Tegas beliau, undang-undang ini tidak pernah dimansuhkan dan juga terpakai selepas penubuhan Malaysia sehingga bila-bila masa.

“Atas sebab ini, Sarawak berkuasa penuh ke atas perlombongan minyak didaratan Sarawak dengan projek penggerudian pertama di kawasan Selatan Marudi yang dikendalikan oleh Petros,” katanya.

Justeru, Abang Johari mengulangi kenyataan bahawa Sarawak tidak berniat untuk menjatuhkan mana-mana entiti nasional seperti yang coba ditularkan oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau juga berharap pihak-pihak tersebut tidak mempolitikkan hasrat rakyat Sarawak untuk sama-sama berkecimpung dalam industri minyak dan gas di negara ini kerana kuasa dan sumber negara ini harus dikongsi dengan lebih adil dan saksama.

“Sarawak tidak boleh melakukan semuanya sendiri.

“Jalan yang paling bijak untuk Sarawak ialah melalui perkongsian dan kerjasama dengan entiti-entiti nasional dan juga entiti-entiti antarabangsa untuk mentranformasikan ekonomi negeri ini, ” kata Abang Johari. — DayakDaily

Advertisement