Sarawak berniat beri pendidikan universiti percuma kepada anak Sarawak — Abang Johari

Kelihatan Abang Johari berucap di Majlis Penutupan Miri City May Fest di Miri malam ini (28 Mei 2023). Tangkap skrin diambil dari siaran langsung melalui saluran YouTube Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

KUCHING, 28 Mei: Kerajaan berniat memberikan pendidikan percuma kepada anak Sarawak yang belajar di universiti milik Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia mampu direalisasi jika pendapatan Sarawak terus meningkat.

Menurut beliau, usaha kerajaan selama ini sudah menampakkan hasil dengan pendapatan Sarawak pada tahun 2022 ialah RM12 bilion.

“Pada suku pertama tahun ini kita sudah capai RM5 bilion; ia adalah 45 peratus daripada sasaran pendapatan kita.

“Kita sasar menjana pendapatan RM11 bilion tahun 2023 ini. Kita sudah capai RM5 bilion dalam suku pertama, ada tiga suku lagi mudah-mudahan bertambah.

“Lepas itu kalau rezeki bertambah, kita berniat untuk memberi pendidikan percuma kepada anak kita di universiti milik Sarawak,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian di Majlis Penutupan Miri City May Fest di Miri malam ini.

Tambah Abang Johari, Sarawak kini sudah mengambil alih Universiti Curtin di Miri dan Universiti Swinburne.

Selain itu, ujar beliau, Sarawak juga memiliki sebuah universiti di Sibu dan Kolej Universiti i-Cats.

“Niat kita agar anak Sarawak boleh belajar di universiti kita dan dana dibiayai oleh Yayasan Sarawak,” kata Abang Johari. — DayakDaily