Sarawak beri bantuan peralatan kepada nelayan dan kaji cadangan bantuan kewangan

Abang Johari (tiga dari kanan) menerima cenderamata dari Adun Tanjung Datu, Datuk Amar Jamilah Anu selesai Sesi di Dewan Masyarakat Lundu.
Advertisement

Oleh Chris Bishop 

LUNDU, OGOS 25: Kerajaan Negeri bersetuju memberi bantuan dari segi peralatan kepada nelayan-nelayan di Lundu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bantuan tersebut berupa bahan-bahan untuk para nelayan membaiki perahu dan pukat.

Advertisement

“Saya sudah berbincang dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah tentang bagaimana kita boleh membantu para nelayan.

“Di musim tengkujuh, nelayan-nelayan kita membaiki perahu dan pukat kerana tidak dapat pergi ke laut untuk menangkap ikan.

“Saya cadang kita teruskan bantuan dari segi menyediakan mereka dengan bahan-bahan untuk membaiki perahu dan pukat,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Town Hall Berambeh Ngan Abang Johari di Dewan Masyarakat Lundu di sini hari ini. 

Selain itu, Abang Johari juga memaklumkan yang Kerajaan Negeri mempertimbang untuk memberi bantuan kewangan kepada nelayan-nelayan negeri ini.

Katanya, perkara tersebut sedang diperingkat perbincangan setelah Kerajaan Persekutuan yang baharu menarik balik bantuan RM300 sebulan kepada para nelayan di seluruh negara.

Mengulas isu yang sama, beliau memaklumkan yang di bahagian utara Sarawak iaitu di Limbang, Lawas dan Miri, para nelayan memilih untuk diberi bantuan membeli enjin dan perahu.

Di Lawas, tambah Abang Johari, bantuan tersebut telah pun diluluskan.

Di program yang sama, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk membina pusat pengumpulan hasil pertanian di Lundu.

“Pusat bakal memberi kemudahan kepada para petani mengumpulkan hasil tani mereka sebelum dipasarkan.

“Ianya sekaligus akan mengatasi lambakan hasil tani dari kawasan di sekitar Lundu,” katanya. — DayakDaily

Advertisement