KUCHING, 6 Mac: Sarawak mensasarkan memenangi sebanyak 50 pingat emas di temasya Sukan Malaysia (Sukma) XX yang akan berlangsung di Johor dari 11 hingga 19 Julai depan.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sasaran itu berikutan pada temasya Sukma yang lepas Sarawak telah mampu memenangi sebanyak 47 pingat emas.
“Jadi selepas berbincang dengan persatuan sukan (di Sarawak), pada ketika ini kami mensasarkan sebanyak 50 pingat emas dan bertambah tiga pingat emas dari Sukma lepas,” katanya selepas Mesyuarat Persediaan Sukma XX 2020 Johor hari ini.
Abdul Karim tidak mendedahkan acara yang akan menyumbangkan pingat emas terbabit tetapi Sarawak akan menyertai sebanyak 31 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya Sukma itu.
Sukan itu ialah akuatik, badminton, berbasikal, bola sepak, gimnastik, hoki, karate, lawn bowls, memanah, menembak, olahraga, pencak silat, pelayaran, squasy, tenpin boling, wushu, bola jaring, bola keranjang, bola tampar, judo, kanu, petanque ragbi, tinju, golf, kriket, muay, sepak takraw, tenis, e-sports dan angkat berat.
“Jumlahnya (atlet Sarawak) pun kita belum lagi lihat terperinci , tapi kita akan bertanding semua jenis sukan. Sesetengah sukan kita tidak menghantar atlet maksima tetapi tidak kurang dari 700 orang atlet dan pegawai sukan dan menjadi antara kontinjen negeri terbesar pada temasya itu nanti,” katanya.
Berikutan itu, pihaknya telah meminta persatuan sukan negeri ini berusaha menyertai semua acara bagi 31 jenis sukan dipertandingkan dalam Sukma XX di Johor dan mencari atlet bagi bertanding sebanyak mungkin kategori acara sukan itu.
Katanya satu kem sukan juga akan diadakan pada Jun depan bagi pihaknya memutuskan senarai atlet yang akan menyertai kontinjen Sarawak ke temasya sukan terbabit yang masih tinggal sekitar 120 hari lagi.
Selain itu, Sarawak juga dijangka akan mempunyai ramai penyokong pada temasya sukan itu kali ini walaupun di Semenanjung kerana ketika ini dianggarkan seramai 40,000 rakyat Sarawak yang menetap di Johor.
“Dari segi persiapan, atlet kita memang ada yang terganggu dengan Covid-19 antaranya pasukan atlet wushu kita yang tidak dapat menjalani lawatan pendedahan di China,” katanya.
Namun Karim tidak bimbang dengan perkara itu kerana bukan sahaja atlet dari Sarawak malahan atlet dari negeri lain juga mengalami masalah yang sama.—DayakDaily