Sarawak bercadang membuka pejabat khas di Singapura

Abang Johari (tiga dari kiri) menerima buku cenderahati mengenai Perhimpunan Agung PBB Sarawak Ke-14 dari Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Unggah Embas (dua dari kiri) di Majlis Penghargaan Sempena Perhimpunan Agung PBB Sarawak Ke-14, di Kuching.

KUCHING, Mac 14: Kerajaan negeri bercadang membuka sebuah pejabat khas negeri Sarawak di Singapura bagi membantu rakyat negeri ini menjalankan urusan perniagaan dengan sektor swasta negara terbabit.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mencadangkan penubuhan pejabat khas itu yang akan menempatkan kakitangan awam dan pegawai kerajaan negeri ini yang boleh menyediakan perkhidmatan tersebut di negara jiran terbabit.

“Saya hendak membuka sebuah pejabat khas kita (Sarawak) di Singapura; jadi kalau ada orang Sarawak yang mahu berinteraksi dengan sektor swasta di Singapura, kita sudah ada pegawai yang boleh membantu mereka di pejabat terbabit yang akan terletak di satu kawasan perniagaan,” katanya ketika menghadiri Majlis Penghargaan Sempena Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Ke-14, di sini, semalam.


Abang Johari berkata pejabat khas tersebut juga akan menjadi tempat bagi membantu penduduk negeri ini menguruskan export barangan mereka dari negeri ini ke Singapura termasuk barangan pertanian dan mempromosikan sektor pelancongan negeri ini serta menjangkakan pejabat terbabit dapat dibuka seawalnya Januari tahun hadapan.

“Saya sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani) membuka pejabat itu seawalnya Januari 2019. Ini akan memberi peluang kepada pembangunan pertanian kita dan sektor pelancongan kita yang akan diletakkan dibawah satu bumbung disana,” katanya.

Beliau berkata negeri ini perlu membuka pejabatnya sendiri di Singapura kerana menjadi hub kepada rantau Asia dan disamping itu negeri ini yang menuju ke arah Ekonomi Digital juga semakin menarik perhatian negara terbabit sebagai satu bintang yang sedang meningkat naik di rantau Asia.

“Jadi suatu hari nanti, kita akan dapat melihat bendera Sarawak berkibar di Singapura kerana pejabat negeri Sarawak ada disana bagi orang Sarawak; ini akan saya laksanakan disebabkan kekuatan yang ada pada PBB,” katanya.

Abang Johari berkata pejabat terbabit juga perlu kerana Sarawak dan Singapura sudah menjalinkan kerjasama bagi membolehkan urusan pembayaran perniagaan antara rakyat di kedua-dua pihak yang boleh dilakukan tanpa wang tunai mengunakan teknologi iaitu melalui kod bar dan telefon bimbit.

“Bagaimanapun rupanya ada perisian baru dimana tidak perlu membayar guna kod bar tetapi gunakan nombor telefon sahaja dengan orang Singapura dimana pembeli dan penjual boleh membuat pembayaran hanya mengunakan nombor telefon bimbit mereka seperti mengunakan aplikasi WhatApp,” katanya.

Berikutan itu, beliau bercadang memperluaskan pengunaan teknologi pembayaran tanpa wang tunai selepas ini antara Sarawak dan Singapura dengan juga boleh mengunakan nombor telefon bimbit selain kod bar dan ini akan dilakukan melalui kerjasama dari pihak berkuasa kewangan di Singapura dan Bank Negara.

Sehubungan wujudnya kemudahan teknologi itu, beliau berharap penduduk negeri ini akan berusaha meneroka pasaran eksport barangan Sarawak ke Singapura terutama hasil pertanian yang boleh mendapat permintaan tinggi seperti buah durian dan sayuran termasuk cili yang panjangnya sehingga sekaki. — DayakDaily