Sarawak bakal menjadi pembekal daging lembu halal di Asean dan Timur Tengah

Abdul Aziz (duduk tengah) pada sidang media di Kuching hari ini (Mei 28, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 28: Sarawak bersedia untuk menjadi pembekal daging lembu halal terkemuka di wilayah Asean dan Timur Tengah dengan perolehan Stesen Carmor Plains di Darwin, Barat Australia oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Perolehan stesen ternakan lembu baharu ini pada keluasan 102,547 ekar diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang baru-baru ini mengetuai delegasi ke Wilayah Utara Australia dalam perjalanan ke Stesen Rosewood Cattle SEDC yang terletak di Australia Barat.


Menurut Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husain, Stesen Carmor Plains akan menjadi pusat memberi makan dan menggemukkan bagi 32,000 lembu milik SEDC di Stesen Ternakan Rosewood yang terletak di Australia Barat.

“Ia akan menjadi satu lagi pelaburan bagi SEDC kerana aksesibilitinya kepada tempat makan yang baik bagi ternakan lembu sepanjang tahun,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Tambah Abdul Aziz, pelaburan hartanah lembu Stesen Carmor Plains merupakan perancangan SEDC untuk mengembangkan ternakan lembu di Australia.

Katanya, Stesen Rosewood merancang untuk menggunakan sepenuhnya Stesen Carmor Plains sebagai stesen menggemukkan lembu yang mampu menampung kira-kira 5,000 hingga 7,000 ekor lembu muda setiap tahun untuk dieksport.

“Pada masa sekarang Stesen Rosewood memiliki 32,000 ekor lembu dan ini adalah jumlah maksima.

“Oleh itu, lembu muda dari stesen Rosewood akan di hantar ke Stesen Carmor Plains yang mempunyai sumber makanan (rumput) yang banyak.

“Tempoh untuk membesarkan lembu sehingga mencapai berat yang sesuai untuk dijual di Stesen Carmor Plains hanya memakan masa 6 bulan sahaja,” kata Abdul Aziz sambil menjelaskan yang Stesen Rosewood memerlukan tempoh 10 bulan.

Di samping itu, beliau berkata keputusan membeli Stesen Carmor Plains dengan nilai 20 juta dolar Australia mampu menjimatkan kos operasi kerana jarak stesen tersebut ke ke Darwin hanya 220km iaitu 2 jam perjalanan.

“Kedudukan Stesen Carmor Plains juga satu lagi faktor yang akan membantu penjimatan kos.

“Ia membolehkan SEDC untuk manfaatkan jarak dekat ke Pelabuhan Darwin dimana lembu boleh dihantar bagi pasaran eksport.

“Akan ada pengurangan kos dalam memindahkan ribuan lembu untuk dieksport ke negara lain sekali gus menyediakan pulangan lebih baik pada masa depan,” katanya.

Stesen Rosewood Cattle diperoleh SEDC pada 1982 dan meliputi kawasan seluas 731,834 ekar termasuk pelbagai fasiliti yang membantu ternakan lembu Sarawak di Australia.

Keputusan untuk memperoleh Stesen Carmor Plains telah diluluskan dalam Mesyuarat Lembaga SEDC baru-baru ini pada Mac 5 dan juga Mesyuarat Lembaga Pengarah Rosewood Station Property Limited pada Februari 28 tahun ini. — DayakDaily