Sarawak antara pilihan venue penganjuran sukan di Malaysia — Hannah Yeoh

Hannah ketika ditemui di Kuching.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Ogos: Sarawak di landasan tepat bagi penganjuran acara sukan peringkat antarabangsa, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Menurut beliau, dengan komitmen tinggi kerajaan negeri yang melabur wang dalam pembangunan sukan, Sarawak antara pilihan venue.

Advertisement

“Saya yakin selepas Sarawak melabur duit dalam kemudahan sukan dan pembangunan atlit, Sarawak dilihat sebagai satu venue natural bagi Malaysia.

“Maka kalau ada penganjuran sukan seperti ini, Sarawak diberi pertimbangan,” katanya.

Hannah berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan ke Pusat Skuash bagi menyaksikan acara separuh akhir di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Pusat telah menerima tawaran Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan Sea 2027.

Katanya, Sarawak menawarkan sumbangan 50 peratus bagi anggaran kos penganjuran.

“Setakat ini, ada tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang sudah menawarkan untuk membantu penganjuran Sukan Sea 2027.

“Status penganjuran Sukan Sea 2027 ialah kertas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah siap dan diedar kepada kementerian berkaitan untuk maklumbalas.

“Kemudiannya kelak akan dibentang dalam kabinet untuk mendapatkam keputusan,” ujar Hannah. — DayakDaily

Advertisement