Sarawak ambil serius saman terhadap Petronas, kata Abang Johari

Abang Johari menyampaikan sijil perkhidmatan cemerlang kepada salah seorang pegawai PPES pada Sambutan Ulang Tahun ke-47 PPES di Kuching, malam tadi (Nov 25, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 25: Kerajaan negeri mengambil serius berhubung saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Saman tersebut difailkan pada 21 November lepas setelah syarikat berkenaan gagal membayar cukai jualan lima peratus terhadap produk petroleum yang dikuatkuasakan di negeri ini.


“Pada masa sekarang kita mencabar salah sebuah pemain industri di negeri ini yang tidak mahu membayar cukai jualan.

“Kita terpaksa membawa syarikat tersebut ke mahkamah dan kita mengambil serius perkara ini,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-47 Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) di sini, malam ini.

Tambah beliau, pendapatan dari hasil kutipan cukai jualan tersebut akan dikembalikan semula kepada rakyat Sarawak melalui pelbagai inisiatif dan subsidi.

Melalui pendapatan itu juga, kata Abang Johari, kerajaan akan melaksanakan pelbagai projek pembangunan menerusi pelbagai agensi kerajaan seperti PPES.

“Inilah caranya kita menyediakan insiatif dan projek pembangunan di Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Petronas hari ini telah mengesahkan menerima fail saman kerajaan Sarawak berhubung kegagalan membayar cukai jualan tersebut.

“Petronas mengesahkan bahawa pengawal cukai jualan negeri Sarawak dan kerajaan Sarawak telah menfailkan tindakan terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuching pada 21 November 2019, kerana tidak membayar cukai jualan Sarawak ke atas produk petroleum,” menurut syarikat minyak nasional itu dalam satu kenyataan.

Pada Khamis lepas, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri, Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dalam satu kenyataan berkata Petronas tidak membayar cukai jualan negeri bagi produk proleum yang ditetapkan mengikut Ordian Cukai Jualan Negeri 1998.

Cukai jualan negeri sebanyak lima peratus dikenakan pada 1 Januari 2019 dan Petronas satu-satunya syarikat minyak dan gas yang beroperasi di negeri ini yang belum membayar cukai jualan tersebut. — Dayak Daily