This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 19 Julai: Bangunan Pejabat Pos Malaysia di Kuching dalam senarai bangunan yang hendak diambil balik daripada kerajaan pusat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia di dalam senarai 52 lot tanah milik Sarawak.
“Ya memang kita mahu ambil balik bangunan pejabat pos, sebab ia ikonik dan bangunan warisan,” katanya ketika ditemui selesai Majlis Perhimpunan Maal Hijrah 2023 di Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.
Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kerajaan persekutuan bersetuju mengembalikan semula 55 daripada 224 lot tanah yang telah diperolehi daripada kerajaan Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, ia melibatkan 52 lot tanah milik Sarawak dan tiga milik Sabah.
Katanya, kedua-dua kerajaan Negeri berkenaan akan membayar semula kepada kerajaan persekutuan jumlah pampasan yang telah dibayar pada harga ketika kerajaan persekutuan mengambil alih anah berkenaan.
“Banyak lot tanah di Sabah dan Sarawak yang diperolehi kerajaan persekutuan namun tidak dibangunkan.
“Dengan pengembalian tanah tersebut, kedua-dua Negeri terbabit sekurang-kurangnya akan dapat memajukan kawasan tanah itu,” kata Fadillah pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatakuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia. — DayakDaily