Sarawak akhiri kempen SUKMA Ke-20 di kedudukan keempat

Pasukan renang menjadi penyumbang terbesar pingat Sarawak.

KUCHING, 25 Sept: Kontinjen Sarawak berjaya mengulangi pencapaian dilakar pada 2018 dengan menduduki tempat keempat dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 MSN Kuala Lumpur 2022 yang melabuhkan tirainya pada Sabtu.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), sekalipun berjaya mencapai sasaran kedudukan empat teratas dari 15 negeri yang mengambil bahagian, namun jumlah kutipan pingat Sarawak kali ini menurun.

Pada edisi kali ini, Sarawak merangkul 32 pingat emas, 43 perak dan 52 gangsa selepas bersaing selama 10 hari dalam 31 acara sukan.


Manakala pada edisi 2018 di Perak, Sarawak berjaya merangkul 42 pingat emas, 36 pingat perak dan 60 gangsa.

Kedudukan pingat Sukan Malaysia Ke-20.

Edisi kali ini juga menyaksikan beberapa acara sukan pilihan yang disandarkan untuk menghadiahkan pingat emas tidak kesampaian antaranya wushu, lawn bowl, sepak takraw, angkat berat dan beberapa lagi acara sukan lain.

Selain itu beberapa acara sukan juga gagal menyumbang sebarang pingat antaranya kanu, bola sepak, hoki, kriket, gimrama, rugbi, dan bola jaring.

Selepas kilauan emas pertama Sarawak disumbangkan oleh atlet kebangsaan, Jonah Chang Rigan dalam acara lontar peluru pada 15 September, atlet Bumi Kenyalang terus mengorak langkah dengan beberapa acara sukan mula garang merangkul pingat emas.

Acara renang menjadi penyumbang terbesar pingat Sarawak dengan meraih lima emas, sembilan perak dan tujuh gangsa, diikuti olahraga dengan lima emas, empat perak dan enam gangsa.

Tenpin boling ketiga tertinggi dengan empat emas, dua perak dan empat gangsa disusuli memanah dengan empat emas, satu perak dan satu gangsa, terjun dengan dua emas, tiga perak dan satu gangsa manakala silat dengan dua emas, dua perak dan enam gangsa.

Kontinjen Sarawak juga boleh berbangga kerana berjaya muncul juara keseluruhan dalam empat acara sukan iaitu tenpin boling, bola tampar dewan, terjun dan memanah.

Skuad tenpin boling Sarawak paling cemerlang apabila berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut pada SUKMA ini.

Selain itu, beberapa acara sukan turut menunjukkan kebangkitan pada SUKMA kali ini antara tinju yang membantu Sarawak memintas Selangor pada saat akhir selepas menyumbang dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Sukan muaythai turut mengekalkan konsistensi dengan menghadirkan dua pingat emas dan tiga gangsa manakala badminton juga melakar sejarah apabila memenangi pingat gangsa dalam acara beregu campuran selepas hampir 30 gagal melakukannya dalam temasya SUKMA sebelum ini.

SUKMA kali ini juga menyaksikan kemunculan atlet-atlet baharu Sarawak yang mempunyai potensi besar seperti atlet terjun, Elvis Priestly Clement dan Jared Aiden yang berjaya merangkul pingat emas dalam acara Platfrom Seirama lelaki.

Selain itu, atlet tenpin boling Lavinia Kho Jia Jie dan Nur Hazirah Ramli juga antara yang boleh pergi lebih jauh selepas penampilan cemerlang pada SUKMA kali ini.

Secara keseluruhannya, kontinjen Johor muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.

Tempat kedua milik Terengganu dengan 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di kedudukan ketiga dengan 55 emas, 68 perak dan 64 gangsa. — DayakDaily