Bandar Persahabatan Kuching dan Guro platform pertukaran idea dalam pelbagai bidang

Dr Sim serta rombongan ketika lawatan ke Seoul baru-baru ini.

KUCHING, 25 Sept: Kewujudan bandar persahabatan antara Kuching dengan bandar Guro, Korea Selatan memberi manfaat kepada penduduk tempatan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, ia menjadi platform untuk pertukaran idea dalam beberapa bidang seperti pendidikan dan perniagaan.

Beliau telah mengadakan lawatan ke Seoul baru-baru ini bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng untuk menyempurnakan ulang tahun ke-10 sejak bandar Guro dan Kuching dirasmikan sebagai bandar persahabatan pada tahun 2012.


Katanya, bandar Guro mengorak langkah lebih jauh dengan menamakan sebuah jalan, Kuchingsouth-ro atau Kuching Selatan sebagai tanda persahabatan antara Majlis Bandaraya Guro-gu dan MBKS.

“Sebab itu, saya mengadakan lawatan untuk meraikan penamaan jalan tersebut.

“Ianya juga bertujuan mengeratkan hubungan bersama Datuk Bandar baharu dan merupakan komitmen daripada Kerajaan Sarawak juga,” ujar Dr Sim.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa menghadiri Majlis Pelantikan Presiden Kelab dan Ahli Lembaga Pengarah Ke-82 Rotary Club of Kuching bagi tahun 2022/2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.

Majlis itu turut dihadiri lebih 250 orang termasuk ahli Rotarian, Ahli Lembaga Pengarah, Bekas Presiden serta Chief Guest District Governor, Joanne Kam.

Presiden Kelab Rotary baharu, Eric Lew mengambil alih peranan tersebut daripada mantan Presiden, Garet Sim di mana beliau akan memikul jawatan presiden bagi tahun 2022/2023.

Selain itu, majlis turut menyaksikan pelancaran piagam kelab baharu seperti Club of Tunku Putra HELP dan the Rotaract Club of Kuching Omega. — DayakDaily