Sarawak akan menggunakan dokumen MA63 dari London sebagai bukti di dalam isu Petronas

Sharifah Hasidah (tiga dari kiri) bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (empat dari kiri) dan tetamu lain menjamu selera pada Rumah Terbuka Hari Raya beliau yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini semalam.

KUCHING, Jun 17: Sarawak akan menggunakan dokumen Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dibawa balik daripada London sebelum ini, sebagai bukti untuk mempertahankan hak minyak dan gas negeri sekiranya Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Petronas di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA).

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata dokumen-dokumen tersebut diyakini akan membantu kerajaan negeri menang dalam kes ini.

“Semua dokumen yang kita bawa balik ini adalah asli dan bukan fotostat, di mana ia akan digunakan sepenuhnya sebagai bukti yang diperlukan di mahkamah nanti,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau, di sini.


Bagaimanapun, beliau berkata buat masa sekarang, kerajaan negeri perlu menunggu keputusan pendengaran Mahkamah Persekutuan ke atas permohonan Petronas itu pada Jun 21 ini sebelum mengambil apa-apa tindakan.

“Kita tidak mahu terburu-buru mengambil tindakan. Kita tunggu dan lihat dulu keputusan mahkamah pada Jun 21 nanti, kemudian baharulah kita melihat apa tindakan selanjutnya yang akan diambil,” katanya.

Sharifah Hasidah berkata pasukan perundangan negeri juga sudah bersedia untuk menghadapi isu Petronas itu di Mahkamah Persekutuan, jika permohonan syarikat minyak dan gas nasional itu dibenarkan.

Pada Jun 4 lalu, Petronas memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai PDA sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di Malaysia.

Menurutnya, ia adalah pemilik eksklusif sumber petroleum, serta pengawal selia industri huluan di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak. — DayakDaily