Lelaki warga emas maut dalam kemalangan

Kelihatan kemalangan yang membabitkan tiga kenderaan di Simpang Kampung Serdang, Lawas.

LAWAS, Jun 17: Seorang lelaki warga emas menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta Perodua Axia di Simpang Kampung Serdang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.05 pagi itu, mangsa, Hujan Gimbam, 65, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Lawas, Mohd Ikhwan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 11.09 pagi.


Jelasnya, sepasukan lima anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda, Perodua Axia dan motosikal.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang pemandu dan penumpang Perodua Axia terbabit telah dikeluarkan oleh orang awam, manakala empat orang termasuk pemandu yang menaiki kereta Honda tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu mengesahkan menerima laporan kemalangan berkenaan.

Katanya, mangsa yang meninggal dunia sudah dibawa ke Hospital Lawas sebelum mayatnya dituntut oleh warisnya.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily