Sarawak Agrofest 2018 bermula hari ini

Antara aktiviti pameran dan jualan pertanian di Sarawak Agrofest 2018 hari ini yang didedahkan di laman Facebook acara itu.
Advertisement

KUCHING, Okt 21: Orang ramai dipelawa mengunjungi Sarawak Agrofest 2018 yang membabitkan pameran dan jualan pelbagai produk pertanian negeri ini yang sudah bermula hari ini di Penview Convention Centre (PCC) Demak, di sini.

Acara anjuran kerajaan negeri dan Jabatan Pertanian Sarawak terbabit akan bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dan akan berlangsung sehingga Okt 28 depan.

Sekretariat Sarawak Agrofest 2018 dalam kenyataan medianya hari ini mendedahkan antara aktiviti menarik yang diadakan ialah Persidangan Antarabangsa Pertanian dan Industri Asas Tani Sarawak (ICAAS) 2018, Seminar Mendaya Usahawan, Program Agropreneur Muda, Agrohackton, Smart Farming Sarawak Pavilion, Sarawak Kitchen dan Mini Zoo, dan pentas hiburan.

Advertisement

Disampung itu terdapat juga acara ceramah mini berkaitan pertanian pintar, penternakan kelulut, penanaman rock melon dan peluang menyertai kerjasama E-Ladang, ‘pengredan hands-on’, pemilikan haiwan peliharaan, amalan yang baik di ladang ayam, skim pengesahan bahan tanaman, penternakan burung walit di Sarawak, perundingan doktor haiwan, aplikasi dron, pertanian hidroponik, dan kesedaran rabies.

“Acara yang dinantikan ialah pada Oktober 28 depan iaitu promosi lelongan produk pertanian dan cabutan bertuah (bagi pengunjung) Sarawak Agrofest 2018 dengan hadiah utamanya motosikal Yamaha 135 LC, gergaji Stihl, Mitsubishi Bush Cutter dan ‘knapsack sprayer’ yang dikendalikan bateri, kereta sorong, benih Musang King, benih kelapa pandan, benih rambutan Anak Sekolah dan telur Omega QL,” menurut kenyataan media itu.

Pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti pertandingan termasuk poco-poco kreatif, Agro “K” Idol, Ratu Agrofest, nopeng, persembahan kebudayaan, ‘betta fish’, mewarna, mencari harta karun, beli belah Agro, anyaman ketupat dan masakan serta sukaneka menangkap ikan keli.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka akan merasmikan Sarawak Agrofest 2018 di Pentas Utamanya pada Oktober 25 jam 10 pagi.

Manakala persembahan pentas hiburan di acara tersebut akan menampilkan artis tempatan iaitu Ricky El, Nurul dan Kumpulan Lestari, Kumpulan Belio, Amiss U dan Awin, Wooden Gun dan kumpulan Hi Breed yang akan mempersembahkan lagu koboi. — DayakDaily

Advertisement