Sarawak ada kuasa mutlak terhadap dataran benua

Abang Johari berucap di Majlis Jamuan Teh di Kuching. Foto: UKAS
Advertisement

KUCHING: Sarawak mencapai penyelesaian berkaitan hak dan kuasa dalam pengurusan dan guna tanah terhadap dataran benua, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abang Johari berkata, hak dan kuasa tersebut adalah berdasarkan peruntukan perlembagaan.

Katanya, perkara tersebut telah dibincangkan pada mesyuarat pertama Lembaga Tenaga Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya baru-baru ini.

Advertisement

Hasil mesyuarat tersebut tambah Abang Johari, diputuskan bahawa tanah adalah di bawah bidang perundangan dan kuasa eksekutif negeri yang tidak boleh di ganggu gugat.

“Memang benar dataran benua dipanjangkan sehingga 200 batu nautika, tetapi apa yang ada dibawahnya tidak boleh menidakkan bidang kuasa negeri yang sudah wujud.

“Ia tidak boleh diubah, ia harus dihormati.

“Kita membaca ayat terakhir iaitu hak terhadap sempadan negeri tidak boleh disentuh. Maka kita sudah ada penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Jamuan Teh di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Justeru dengan jaminan itu, Abang Johari yakin Sarawak memiliki masa depan yang cerah.

Beliau berharap pemimpin muda boleh meneruskan kegemilangan yang telah dicapai ini dan membawa negara ke arah yang lebih baik. — DayakDaily

Advertisement