Sarawak ada formula tingkatkan efisiensi sistem pengangkutan awam, Abang Johari

Penerima-penerima Anugerah Integriti PPES 2019 merakamkan kenangan bersama Abang Johari(lapan kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Jan: Formula meningkatkan efisiensi sistem perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini bakal diumumkan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak(PPES) sedang melakukan kajian menyeluruh pada masa kini.


“Kita mesti meningkatkan sistem perkhidmatan pengangkutan awam dan saya sedang mencari formulanya.

“Nanti saya akan umumkan formula ini, biar kita buat kajian dahulu,” katanya pada majlis perasmian Hari Integriti PPES di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri pada masa kini tambah beliau sedang dalam perancangan untuk melaksanakan kemudahan ‘Autonomous Rapid Transit’(ART) bagi laluan Kuching ke Kota Samarahan.

Katanya, PPES telah diberi amanah untuk menjayakan kemudahan ART dengan kerjasama kementerian pengangkutan.

“Semalam saya balik dari Simanggang melalui jalan raya. Dari Serian ke Kuching saya melalui Samarahan dan saya nampak kereta berbaris panjang.

“Sebab itulah kita hendak bina ART supaya kemudahan pengangkutan awam kita lebih sistematik. Kita tidak mahu rakyat menunggu terlalu lama,” katanya.

Beliau yakin dengan pendekatan ‘Revenue Re-Engineering’, pelaksanaan kemudahan ART boleh direalisasikan.

Pada ucapan yang sama, Abang Johari memuji PPES kerana sentiasa mengutamakan nilai-nilai integriti di kalangan kakitangannya.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan anugerah integriti dan menyaksikan Ikrar Integriti PPES yang diketuai Pengerusi PPES Tan Sri Abdul Aziz Husain. —DayakDaily.