PKR Batang Lupar sokong siasatan dilakukan terhadap Zuraida

Zuraida Kamaruddin - file pic

KUCHING, Jan 21: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batang Lupar menyokong tindakan parti menyiasat Naib Presiden Zuraida Kamaruddin atas tindakan beliau yang dilaporkan melanggar etika dan displin parti.

Ketuanya, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata biro displin mesti bertindak pantas dengan adil dan saksama berdasarkan kesimbangan merit yang ada.

“Dalam kes YB Zuraida Kamaruddin, laporan ada dibuat dan parti mempunyai obligasi membuat siasatan dan tindakan tertentu, jika perlu.

“Keadilan perlu ditegak bukan atas dasar emosi, tetapi peraturan yang sah diperakui oleh ahli parti dan undang undang negara,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambah Abang Zulkifli, semua pihak seharusnya menghormati keputusan Jawatankuasa Displin Parti yang memberi surat tunjuk sebab kepada Zuraida yang perlu dijawab olehnya dalam tempoh 14 hari sebelum apa-apa tindakan selanjutnya.

PKR Cabang Batang Lupar, tegas beliau, juga menyatakan bahawa kenyataan media oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Desmond Kho adalah tidak mewakili dan mencerminkan pendirian kesemua 31 cabang PKR Sarawak.

“Cabang Batang Lupar masih mengekalkan pendirian mengikut lunas perlembagaan parti.

“Kita juga menolak sebarang campurtangan luar dan NGO yang berhasrat mempengaruhi keputusan Lembaga Displin,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Abang Zulkifli menegaskan PKR Cabang Batang Lupar akan terus bersama mendokong kepimpinan PKR yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden parti. — DayakDaily