SIBURAN, 7 Feb: Seorang wanita dilaporkan hilang selepas dipercayai melarikan diri dari rumah awal pagi tadi.
Kehilangan wanita itu disedari oleh ahli keluarganya sekitar jam 9 pagi selepas mendapati beliau tidak berada di kediamannya itu.
Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berkenanan insiden tersebut sekitar jam 11 pagi selepas dimaklumkan oleh anggota polis dari Balai Polis Beratok, Padawan.
Katanya, menurut maklumat awal, wanita itu dipercayai melarikan diri dari rumahnya sekitar jam 4.30 pagi tadi.
“Namun begitu kehilangan beliau hanya disedari oleh abang beliau sekitar jam 9 pagi setelah mendapati adiknya tidak berada di rumah mereka.
“Keluarga wanita itu cuba untuk mencarinya di sekitar kawasan kampung namum jejak beliau tidak ditemui membuatkan abangnya membuat laporan polis berkenaan kehilangan mangsa di Balai Polis Beratok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan bagi mengesan wanita itu.
Katanya, seramai 20 anggota Pasukan Bomba Sukarela Kampung Simpok telah berusaha mencari wanita itu di sekitar kampung berkenaan namun masih gagal menemuinya sehingga kini. — DayakDaily