Sangka mayat dalam guni terapung, namun rupa-rupanya bangkai khinzir

Anggota bomba melakukan pemeriksaan ke atas guni yang didakwa terdapat mayat dalamnya.
Advertisement

KANOWIT, Jun 25: Misteri bau busuk dari dalam guni yang terapung di Sungai Pak berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai di Jalan Lukut-Penyulau di sini terjawab apabila pasukan bomba menemui bangkai seekor khinzir di sungai berkenaan hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, Azahari Mohamad Dai berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang guru di sekolah berkenaan berhubung penemuan objek pelik yang terapung di sungai berkenaan pada pukul 12.09 tengah hari.

Jelasnya, sepasukan lima anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi tersebut untuk melakukan kerja-kerja pemantauan dan susulan.

Advertisement

“Kami menerima panggilan daripada seorang guru di SJKC tersebut memaklumkan ada terhidu bau busuk di dalam guni yang terapung di Sungai Pak berhampiran dengan sekolah di situ.

“PGO Sarawak kemudian menghubungi IPD Kanowit bagi persediaan awal untuk bantuan sekiranya diperlukan memandangkan laporan daripada pengadu mengesyaki terdapat mayat,” katanya di sini hari ini.

Azahari menambah, apabila tiba di lokasi, pihak bomba telah menggunakan tangga untuk turun mendapatkan bungkusan guni yang terapung di tebingan sungai berkenaan.

Namun ujarnya, setelah dibuka didapati terdapat bangkai seekor khinzir di dalam guni itu.

“Hasil daripada penemuan telah melegakan pengadu yang pada mulanya menyangka terdapat mayat di dalam guni tersebut.

“Operasi khas itu tamat sepenuhnya pada pukul 12.45 tengah hari,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement