JPJ mengeluarkan 651 saman dalam Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2018

Operasi sekatan jalan raya yang dijalankan oleh JPJ sempena Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2018.

KUCHING, Jun 25: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak telah mengeluarkan sebanyak 651 saman termasuk tindakan mahkamah dalam Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2018.

Pengarah JPJ Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata operasi yang bermula dari Jun 8 hingga 24 itu adalah membabitkan semua jenis kenderaan termasuk motosikal.

“Kesalahan terbanyak yang dikesan adalah membabitkan tiada lesen memandu (267 kes) diikuti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (110 kes), lesen memandu tamat tempoh (86 kes) dan lesen kenderaan motor tamat tempoh (54 kes).


“Selain itu adalah memotong di garisan berkembar (52 kes), lebih muatan (28 kes), tiada lesen kenderaan barangan (15 kes), tidak mempamerkan plat P (11 kes), lesen P tamat tempoh (10 kes), tayar haus/ rosak (9 kes), tiada cermin sisi (4 kes), tidak mematuhi lampu isyarat (1 kes), tidak memakai topi keledar (3 kes) dan lesen kenderaan barangan tamat tempoh (1 kes),” katanya ketika dihubungi.

Mohd Syafiq menambah dalam sepanjang dua minggu tempoh operasi dijalankan, JPJ Sarawak turut mengeluarkan 256 notis atas pelbagai kesalahan, sebanyak 22 notis arah periksa kenderaan, 55 notis arah timbang, 109 notis larangan penggunaan kenderaan, 57 notis temu siasat dan 13 notis LPKP.

Bagi larangan penggunaan kenderaan barangan yang dikuatkuasakan sebelum perayaan pada Jun 13 dan 14 pula, Mohd Syafiq berkata bagi hari pertama larangan, tiga saman telah dikeluarkan terhadap lori mengangkut batu, tanah dan pasir manakala pada hari kedua, 20 saman dikeluarkan terhadap pelbagai jenis lori.

Sementara selepas perayaan pada Jun 23 dan 24, beliau berkata tiga saman telah dikeluarkan terhadap pelbagai jenis lori. — DayakDaily