Oleh Muhammad Akmal Rizki
KUCHING, Apr 16: Susulan sambutan menggalakkan terhadap siri pertama menyaksikan penyertaan seramai 656 peserta, Kementerian Belia & Sukan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sarawak (SESA) akan menganjurkan siri kedua pertandingan Sarawak Youth Stay At Home Esports Challenge Series 2.
Juga terbuka kepada belia di yang berumur 15 hingga 40 tahun, pertandingan ini akan berlangsung dari 18-19 April 2020 untuk Mobile Legend Bang Bang dan 20 – 21 April 2020 bagi PUBG Mobile (Squad).
Presiden SESA, Afiq Fadhli Narawi dalam kenyataannya semalam berkata seperti siri pertama, objektif pelaksanaan pertandingan ini adalah untuk menyediakan aktiviti yang produktif kepada belia yang berada di rumah di samping menjadi pengisian masa lapang mereka di rumah.
“Tambahan pula, program seperti ini boleh membantu menggalakkan pembangunan E-sports di peringkat akar umbi serta secara tidak langsung dijadikan platform latihan yang lebih kompetitif.
“Pelaksanaan pertandingan ini turut membantu meningkatkan keyakinan dan semangat berdaya saing secara sihat di kalangan pemain baru serta membuka ruang kepada mereka untuk menyertai mana-mana kejohanan seterusnya,” katanya.
Antara kategori yang akan dipertandingkan adalah Mobile Legend Bang Bang (MLBB) dan PUBG Mobile Squad dari platform Mobile Gaming dengan sasaran penyertaan kali ini bagi kedua-dua kategori adalah seramai 700 orang.
Para peserta adalah disarankan untuk memiliki talian internet sendiri seperti WIFI/UNIFI atau Mobile Data sendiri di rumah masing-masing.
Sekiranya terdapat peserta yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan iaitu ‘stay at home’ dan juga peraturan lain, maka pihak penganjur akan terus membatalkan penyertaan peserta tersebut.
10 peserta terbaik untuk kedua-dua kategori itu akan menggondol hadiah wang tunai dengan pemenang tempat pertama hingga kelima akan meraih RM3,000, RM2,000, RM1000, RM800 dan RM500.
Manakala penyandang tempat keenam hingga ke-10 kedua-dua kategori akan meraih RM200 setiap seorang.
Borang pendaftaran boleh didapatkan pada link Google Form yang akan disediakan.
Tarikh tutup pendaftaran (MLBB – 17 April) dan (PUBG MOBILE – 17 April).
Untuk maklumat lanjut sila layari Facebook Page SARAWAK ESPORTS ASSOCIATION dan boleh hubungi Allister (0174240188) dan Adi (016-906 4526).
Penganjuran kali ini juga akan diselitkan dengan elemen pembelajaran baru iaitu E-sports Webinar yang akan diadakan pada 22 April 2020.
Ia merupakan suatu seminar ataupun bengkel mengenai pembangunan E-sports di Negeri Sarawak dan bagaimana E-sports membantu dalam pengetahuan teknologi digital yang akan diadakan secara atas talian.
Melalui Webinar ini, para penonton khususnya belia dapat berinteraksi secara langsung bersama moderator dan panelis.—DayakDaily