Sambutan Krismas tiada makna lagi, rumah enam sekeluarga terbakar

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

KOTA SAMARAHAN, Nov 30: Sambutan Hari Krimas yang akan datang sudah tidak lagi bermakna buat enam sekeluarga apabila rumah mereka di Kampung Rembus di sini musnah terbakar, awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 2.35 pagi itu mengakibatkan sebuah rumah jenis kekal setingkat musnah kira-kira 90 peratus.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, Gilbert Majem, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.37 pagi.

Sejurus itu, sepasukan 13 anggota bomba diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman keluarga tersebut. Bagaimanapun, kesemua penghuni rumah tersebut berjaya keluar menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Kelihatan api marak membakar sebuah rumah.

Gilbert menambah, operasi memadam kebakaran itu terkawal pada pukul 3.09 pagi.

Katanya, kerja-kerja ‘overhaul’ juga dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca-punca api dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 4.57 pagi

“Setakat ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami keluarga berkenaan,” katanya.Ā ā€” DayakDaily