Sambutan Krismas tiada makna lagi buat keluarga mangsa kemalangan

Keadaan dua buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

SRI AMAN, Dis 25: Kemeriahan sambutan Hari Krismas yang dirai hari ini sudah tidak lagi bermakna buat sebuah keluarga apabila seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Kilometer 17, Jalan Sri Aman-Sarikei di sini pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu mengakibatkan mangsa, Loman @ Sikam Bujang, 59, disahkan meninggal dunia selepas lebih lima jam menerima rawatan kecemasan di Hospital Sri Aman di sini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Rumah Along Entebar Batu Lintang di sini sedang memandu kereta jenis Proton Waja bersama seorang wanita berusia 51 tahun.


Menurutnya, mereka berdua dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke arah bandar Sri Aman di sini dari arah Batu Lintang.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kereta dinaiki kedua-dua mangsa.

“Impak rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian badannya, manakala pemandu Toyota Hilux pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, wanita yang menaiki Proton Wira itu pula dilaporkan cedera pada kedua-dua pergelangan tangannya.

Katanya, siasatan awal mendapati cuaca baik semasa kejadian berlaku.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily