Sambutan harijadi bertukar menjadi gaduh

Royal Malaysia Police logo

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 6 Ogos: Seorang kontraktor rumah dan kawannya cedera di bahagian kepala selepas dibaling dengan objek keras sewaktu sambutan harijadinya disebuah pub di Permyjaya awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi itu, mangsa yang berusia 27 tahun mengalami kecederaan pada belakang kepalanya sementara rakannya cedera di bahagian dahi sewaktu sedang bergembira menyambut ulang tahun kelahirannya di dalam pub berkenaan.

“Setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan berhubungan kejadian dan pihak polis dalam usaha sedang menjejak suspek yang terlibat,” ujar Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng ketika ditemui hari ini.

Menurut Lim, kira-kira dua jam sebelum kejadian, mangsa dan rakan-rakannya telah datang ke pub tersebut untuk menyambut majlis harijadinya, sebelum kemeriahan diganggu dengan kejadian baling objek oleh individu yang tidak dikenali.

“Rakan mangsa turut tercedera selepas seorang suspek bertindak membaling kerusi ke arah mereka,” kata Lim.

Mangsa dan rakan-rakannya telah meninggalkan premis berkenaan dan satu laporan polis telah dibuat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. — DayakDaily