Sambutan Hari Raya tiada makna lagi, empat beranak hilang rumah dalam satu kebakaran

Anggota bomba sedang melakukan operasi memadam kebakaran.

ASAJAYA, Jun 9: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini sudah tidak bermakna buat empat sekeluarga apabila rumah mereka di Kampung Serpan Laut di sini musnah dalam satu kebakaran awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 4.05 pagi itu mengakibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal musnah terbakar 100 peratus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, Ahmad Shah Saad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 4.06 pagi.


Jelasnya, sebaik menerima maklumat kejadian itu, sepasukan 10 anggota bomba kemudian bergegas ke kampung berkenaan untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian kemudian bertindak membuat pemadaman menggunakan sumber air dari jentera dan sumber air terbuka dari anak sungai berhampiran.

“Penduduk kampung turut membantu dalam operasi memadam kebakaran tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Shah menambah, semasa kejadian, empat beranak yang mendiami kediaman itu tidak berada di rumah kerana berbuka puasa di kediaman saudara mereka.

Katanya, buat masa ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi disiasat.

“Operasi memadam kebakaran tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 6.10 pagi,” katanya lagi. — DayakDaily