KUCHING, 11 Okt: Sambutan Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) 2022 (HOKU22) Peringkat Negeri akan diadakan di Kuching pada 27 Okt ini.
Sambutan bertemakan ‘Not All Disabilities are Visible’ akan dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, konsep Hari OKU 2022 menerapkan elemen keterangkuman, kebersamaan, kesyukuran dan kepelbagaian.
“Fokus utama bertujuan untuk meningkatkan bakat OKU, akses kepada pendidikan, latihan, peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur, kesihatan dan pemulihan serta kecemerlangan arena sukan,” katanya pada sidang media selesai mesyuarat berhubung sambutan tersebut hari ini.
Tambah Fatimah, sambutan juga diadakan untuk menghargai OKU yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang sukan, bakat, seni, akademik dan keusahawanan bagi tujuan advokasi dan promosi OKU.
Di majlis itu nanti, turut diadakan Pelancaran Logo OKU 2022 dan penyerahan Bendera untuk Pasukan Sarawak ke Temasya Sukan Para Sukma 2022. — DayakDaily