Sambutan Hari Gawai tiada makna lagi, tiga dikhuatiri lemas

Pusat Kawalan Bomba dibuka untuk operasi SAR tiga mangsa yang masih hilang.

KANOWIT, Jun 1: Perayaan Hari Gawai Dayak yang disambut hari ini sudah tiada makna lagi buat dua keluarga apabila dua beradik serta seorang saudara mereka dikhuatiri lemas semasa mandi di Nanga Ulin, Sungai Poi sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu mengakibatkan tiga mangsa yang dikenal pasti sebagai Presly Tataw, 27, Henry Tataw, 28, dan Rederict Benediet Rody, 12, dilaporkan masih hilang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sebelum itu, Presley bersama Rederict Benediet dikatakan sedang mandi di sungai berhampiran dengan rumah panjang mereka.

Jelasnya, kedua-dua mangsa kemudian dikatakan kelihatan hampir lemas ketika sedang mandi.

“Henry yang kebetulan ketika itu sedang duduk di jeti sungai melihat kejadian kemudian bertindak terjun menyelamatkan kedua-dua mangsa.

“Namun, malang menimpanya apabila dia turut dihanyut arus sungai yang deras bersama dua lagi mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Operasi SAR mencari tiga mangsa yang masih hilang.

Tiong menambah, pihaknya hanya menerima laporan kejadian itu dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit kira-kira pukul 5.37 petang.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hanya dilakukan hari ini memandangkan cuaca buruk dilaporkan pada petang kejadian.

“Setakat pukul 12 tengah hari, ketiga-tiga mangsa masih belum ditemui,” katanya. ā€” DayakDaily