Sambutan baik untuk Hari Terbuka KD Teguh Samudera dan KD Gagah Samudera

Orang ramai bergambar dengan anak kapal KD Teguh Samudera dan KD Gagah Samudera di hari terbuka kedua-dua kapal di pelabuhan Pending, Kuching.
Advertisement

KUCHING, Mei 5: Hari Terbuka KD Teguh Samudera dan KD Gagah Samudera iaitu dua kapal Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) telah mendapat sambutan baik dengan sekitar 2,500 orang mengunjungi kapal tersebut di Pelabuhan Kuching, di sini, dari jam 9 pagi sehingga jam 1 petang hari ini.

Jurucakap kedua-dua kapal, Leftenan Muda Mohd Afiq Rusli berkata berikutan sambutan itu dijangkakan sekurangnya seramai 5,000 orang mengunjungi hari terbuka terbabit yang sehingga jam 6 petang hari ini.

“Kedua-dua kapal latihan TLDM ini dengan lebih 100 anak kapal telah tiba di Pelabuhan Pending, Sabtu lepas bagi mengadakan hari terbuka ini yang ada pelbagai aktiviti menarik kepada orang ramai dari jam 9 pagi sehingga 6 petang hari ini,” katanya.

Advertisement
Orang ramai mengunjungi Hari Terbuka KD Teguh Samudera dan KD Gagah Samudera di
pelabuhan Pending, Kuching.

Beliau berkata antara aktiviti hari terbuka tersebut ialah lawatan ke atas kedua-dua kapal, melihat persembahan tarian anak kapal, bergambar dengan anak kapal, menyertai acara karaoke dan pertandingan mewarna.

“Selain itu anak kapal juga ada membuka gerai menjual makanan dan minuman serta pelbagai barangan cenderahati kami seperti topi dan baju,” katanya.

Beliau berkata hari terbuka tersebut yang diadakan sempena hari ulangtahun TLDM akan diakhiri dengan upacara matahari terbenam iaitu kedua-dua kapal membuat tiupan wisel panjang.

Katanya kapal-kapal itu dijadualkan belayar meninggalkan pelabuhan Pending Mei 7 depan ke pangkalan TLDM di Tanjung Pengelih di Johor bagi mengisi bekalan dan selepas itu mengadakan pelayaran ke satu negara jiran sebelum pulang ke pangkalan TLDM di Lumut, Perak. — DayakDaily

Advertisement