Pemandu Mazda CX-7 cemas, enjin kereta tiba-tiba terbakar

Kereta Mazda CX-7 yang terbakar pada bahagian enjinnya.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mei 5: Seorang pemandu kereta cemas apabila kereta Mazda CX-7 yang dipandunya tiba-tiba terbakar di bahagian enjin dalam satu kejadian di Jalan Tun Abdul Rahman di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, tiada laporan kecederaan dilaporkan berlaku.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.46 petang.

Katanya, sejurus itu sepasukan lapan anggota bomba dari BBP Padungan telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati pemandu kereta itu telah keluar menyelamatkan diri.

“Pasukan bomba kemudian terus bertindak memadam kebakaran di bahagian enjin kereta itu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba membuat pemadaman menggunakan satu aliran saluran bantu mula air dari tangki jentera sehingga api padam sepenuhnya.

Jelasnya, kebakaran itu telah memusnahkan 100 peratus bahagian enjin kenderaan tersebut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.25 petang,” katanya. — DayakDaily