SIMUNJAN, Jun 12: Lima sekeluarga bakal menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri dengan suram apabila kediaman mereka di Kampung Lubok Buntin di sini musnah terbakar hari ini.
Kebakaran kira-kira pukul 11.15 pagi itu telah mengakibatkan sebuah rumah setingkat jenis tidak kekal telah musnah terbakar 100 peratus.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan, Mat Undek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 11.17 pagi.
Jelasnya, sepasukan 11 anggota bomba kemudian bergegas ke kampung berkenaan untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.
“Sejurus tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar rumah tersebut.
“Api marak dengan pantas disebabkan struktur kediaman tersebut diperbuat daripada bahan-bahan yang mudah terbakar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mat menambah, kelima-lima penghuni kediaman berkenaan tidak berada di dalam rumah semasa kejadian.
Katanya, buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.
“Operasi memadam kebakaran tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 1.10 petang,” katanya. — DayakDaily