This Content Is Only For Subscribers
LUNDU, 16 Ogos: Sebanyak 74 saman dikeluarkan ke atas 28 buah motosikal atas pelbagai kesalahan sepanjang tiga hari Pesta Sematan pada 11 hingga 13 Ogos baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata antara kesalahan adalah ubah suai struktur kenderaan, ubah suai ekzos, tiada lesen, tiada perlindungan insurans, tidak memakai topi keledar, tiada cermin sisi dan nombor pendaftaran yang tidak mengikut piawaian.
Katanya, hanya tiga saman yang dikeluarkan atas kesalahan meletak kenderaan di dalam tapak Pesta Sematan.
“Perlu dijelaskan di sini, bahawa sepanjang tiga hari berlangsungnya Pesta Sematan, sebanyak 28 buah motosikal disaman atas kesalahan ubah suai kenderaan dan banyak lagi.
“Sebanyak 74 keping saman telah dikeluarkan atas kesalahan-kesalahan tersebut dan hanya tiga sahaja saman dikeluarkan atas kesalahan meletak kenderaan di tapak pesta iaitu membabitkan sebuah kereta, van dan sebuah pikap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, tiada saman dikeluarkan ke atas kenderaan yang diletakkan di bahu jalan seperti yang diviralkan.
“Sekiranya ada kenderaan diletakkan telah menghalang lalulintas dan membahayakan, pihak kami akan memaklumkan kepada pemilik untuk mengubah tempat letak kereta,” katanya lagi.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan berita tidak sahih sebakiknya ke sunber yang boleh dipercayai terlebih dahulu. — DayakDaily