KUCHING, 14 Mei: Safari Rakit Baleh Kapit (SRBK) bawa masuk lebih ramai pelawat dari luar untuk menyaksikan apa yang ada ditawarkan Kapit terutama dari aspek pelancongan.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi, usaha ini juga perlu dibuat bagi membantu mencapai hasrat Kerajaan negeri untuk membawa masuk 1.2 juta pelancong dengan pendapatan RM3.2 billion.
“Safari Rakit Baleh Kapit ini telah memasuki tahun ke-25 sejak ia pertama kali dianjurkan pada 1996.
“Diasaskan oleh Mendiang Tan Sri Dr Amar James Jemut Masing, ini tentunya adalah antara legasi yang ditinggalkan oleh mendiang kepada kita semua.
“Program ini masih aktif dijalankan sehingga hari ini dan telah membantu mempromosikan Kapit kepada pengunjung luar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Safari Rakit Baleh Kapit dan Perasmian Bazar Gawai Dayak Kapit di Kapit hari ini.
Justeru tambah Nanta yang juga MP Kapit, harapannya agar semua dapat meneruskan program ini di masa-masa akan datang dengan menambahbaik aspek penganjuran dan juga pengisian program supaya SRBK dapat menjadi ikon pelancongan yang menarik di Kapit.
Katanya, beberapa pengisian program baharu yang diperkenalkan seperti program berkayak tentunya boleh menarik minat lebih ramai peserta dan pengunjung luar untuk mencuba selain aktiviti berakit.
Nanta mencadangkan agar program berakit dibuat pada pertengahan bulan Mei setiap tahun.
“Ini dilihat bersesuaian dan mempunyai kesinambungan dengan anjuran Program Bazar Gawai Dayak Kapit bersempena dengan kedatangan perayaan Hari Gawai.
“Saya melihat penganjuran serentak program berakit dan Bazar Gawai Dayak ini dapat menjimatkan sumber, kos dan masa bagi pelaksanaan kedua-dua program ini,” ujar Nanta.
Program Safari Rakit Baleh Kapit (SRBK) merupakan aktiviti tahunan dan telah menjadi antara produk ekopelancongan yang terkenal.
Program ini juga turut dimasukkan di dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sarawak dan tentunya merupakan antara tarikan yang ditawarkan di Kapit. — DayakDaily