Saberkas sasar belia umur 39 tahun ke bawah pegang jawatan utama

Abdul Karim (lima dari kiri) merasmikan Perhimpunan Agung Tritahunan ke-17 Saberkas.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 5 Dis: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) mensasarkan penglibatan lebih ramai golongan belia berusia 39 tahun ke bawah sebagai pemegang jawatan utama.

Justeru kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Perhimpunan Agung Tritahunan ke-17 Saberkas kali ini bakal menyaksikan pemilihan kepada pimpinan baharu Saberkas bagi sesi 2023–2026.

Advertisement

Beliau yang juga Penasihat Saberkas berkata, perkara ini amat jelas dan selaras dengan pindaan baharu Perlembagaan Saberkas 2020 yang lepas.

“Dalam usaha meremajakan Saberkas, pastinya transisi kepimpinan ini harus dipastikan berada dalam perancangan yang terbaik agar konsep perpaduan, kesalingfahaman dapat dikekalkan dalam terma keluarga besar Saberkas,” katanya.

Abang Johari berkata demikian di Perasmian Perhimpunan Agung Tritahunan ke-17 Saberkas di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan merangkap Presiden Saberkas Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Tambah Abang Johari, Saberkas terus memberi peluang dan ruang kepada kepimpinan senior untuk menjadi mentor kepada kepimpinan baharu kelak.

Ujarnya, ia agar Saberkas terus konsisten dalam landasannya sebagai pertubuhan belia utama yang banyak melahirkan pimpinan utama di Sarawak.

“Secara ringkasnya, dapat saya simpulkan bahawa perhimpunan kali ini adalah medan yang bakal menentukan hala tuju Saberkas dalam persiapan menuju 50 tahun ke hadapan.

“Ini adalah langkah pertama ke arah usaha tersebut,” ujar Abang Johari.

Perhimpunan kali ini adalah perhimpunan yang paling ramai, dengan jumlah kehadiran 390 perwakilan serta pemerhati yang mewakili 78 buah Saberkas cawangan beserta 64 orang Exco dan Ex-Officio Saberkas Negeri Sarawak. — DayakDaily

Advertisement