S4S mahukan referendum demi mempertahankan hak Sarawak

Alex Leong

KUCHING, Feb 19: Jurucakap pakatan referendum Sarawak For Sarawakians (S4S) Alex Leong berkata Ordinan Referendum perlu diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Katanya, ia adalah untuk mempertahankan hak Sarawak selain mengelak daripada ditipu kerajaan persekutuan.

“Rakyat Sarawak merasakan telah ditipu oleh kerajaan persekutuan kerana mereka telah memperolehi 95 peratus daripada sumber minyak dan gas negeri ini sejak 56 tahun yang lepas.


“Perolehan ini menyumbang lebih RM100 bilion setiap tahun, tetapi hanya memperuntukkan sedikit untuk program pembangunan di Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Justeru S4S, tambah Leong, berharap untuk mempertahankan Sarawak dengan mengadakan referendum.

Menurut beliau, selepas calon S4S menang pada pilihanraya nanti, ia akan membawa kepada pembentangan Ordinan Referendum di DUN Sarawak.

“Isu utama ialah kebajikan rakyat Sarawak, selain memberikan hak membuat keputusan kepada rakyat melalui undian referendum,” ujar beliau lagi.

Leong turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang telah membayar RM700 juta kepada kerajaan persekutuan bagi tujuan baik pulih sekolah daif, namun satu sekolah pun tidak dibaik pulih sehingga sekarang.

Tambah beliau, jika mengetahui bahawa kerajaan persekutuan tidak boleh dipercayai, mengapa mereka masih membiarkan persekutuan menelan RM700 juta yang kononnya untuk projek membaik pulih sekolah-sekolah daif di Sarawak.

” Bagaimana hendak melindungi Sarawak apabila pihak lain menipu dengan begitu mudah.

“Justeru, referendum adalah perlu untuk mengelak daripada ditipu lagi,” katanya. — DayakDaily