S4S kemuka permohonan pendaftaran parti politik melalui eROSES hari ini

Chin (duduk empat dari kanan) bersama jawatankuasa protem parti melakukan kunjungan ke pejabat Georgina (duduk dua dari kanan) di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 10: Gerakan Sarawak for Sarawakians (S4S) hari ini mengemukan permohonan bagi pendaftaran parti politik kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Menurut jurucakap S4S, Erick Chin, permohonan tersebut dibuat secara atas talian melalui Sistem eROSES.


“Parti S4S adalah nama pilihan utama kita dan pilihan kedua adalah Parti Sarexit, dan kita akur keputusan akan dibuat IbuPejabat ROS di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah selesai pertemuan dengan Pengarah ROS Sarawak Georgina Apphia Ngau di Pejabat Ros Negeri di sini, hari ini.

Tambah Chin, jawatankuasa protem parti telah ditubuhkan dan semua perkara berhubung dengan permohonan untuk dikemukan kepada ROS juga telah sedia.

“Parti ini akan berjuang untuk mendapatkan kembali hak-hak Sarawak dengan kadar segera dan akan berkerjasama dengan parti tempatan.

“Kita tidak boleh menunggu lama lagi dimana dalam tempoh 56 tahun, Sarawak tidak dilayan dengan adil.

“Kita juga merasakan yang Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Barisan Nasional (BN) tidak serius menjaga kepentingan Sarawak,” kata Chin.

Erick Chin

Disamping itu, beliau juga berkata yang S4S pada masa yang sama turut mendaftar menjadi satu badan pertubuhan sah melalui ROS Sarawak.

Namun pertubuhan ini nanti, ujar Erick, tidak boleh menggunakan nama S4S kerana ianya adalah slogan yang digunakan pada tahun 2015. — DayakDaily