S4S gesa ROS beri kelulusan segera

Chan Chee Hiong

KUCHING, Nov 25: Sarawak for Sarawakians (S4S) berharap gerakan tersebut dapat didaftar sebagai sebuah parti politik dengan kadar segera.

Jurucakap S4S, Chan Chee Hiong berkata permohonan telah dihantar ke Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Sarawak pada bulan Jun lepas dan sehingga sekarang belum ada keputusan dari pihak tersebut.

“Kita telah mengemukakan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk permohonan tersebut.


“Tetapi pegawai-pegawai di pejabat ROS berulang kali mengatakan bahawa permohonan kami pada status “sedang dalam penyemakan”.

“Mereka memaklumkan yang permohonan kami telah dikemukakan kepada pihak atasan dan kelulusan bukan di bawah kuasa atau urusan pegawai ROS,” menurut Chan menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambah Chan, S4S perlu didaftarkan menjadi sebuah parti politik dengan segera supaya membolehkan calon-calon mereka bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) kelak.

Jika kelulusan bukan dari pihak ROS, beliau mahukan kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) atau Menteri Dalam Negeri segera memberi kelulusan.

“Adakah kerajaan PH akan melulus ataupun menyekat penubuhan parti S4S?

“Jika diluluskan, S4S bakal menjadi sebuah parti yang boleh mencabar parti lain pada PRN12 nanti.”

Dalam pada itu, tambah Chan, jika kerajaan PH mengamalkan konsep demokrasi dan mengambil kira suara rakyat, penubuhan S4S sebagai sebuah parti politik sepatutnya tidak menjadi satu masalah.

“Jangan menggunakan kuasa politik untuk menghalang rakyat Sarawak menubuhkan parti sendiri,” tegas Chan. — DayakDaily