Rusuhan kedai makan di Matang diklasifikasikan sebagai kes bunuh

PDRM logo

KUCHING, 26 April: Polis mengklasifikasikan semula kes rusuhan yang berlaku di sebuah kedai makan di Jalan Matang, di sini sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pengklasifikasian semula kes tersebut susulan daripada kematian seorang daripada mangsa pada malam Isnin.

Katanya, mangsa berusia 30 tahun yang cedera dalam kejadian tersebut meninggal dunia pada jam 10 malam ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).


“Kes diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan seramai 16 orang ditangkap untuk membantu siasatan.

“Polis masih menyiasa dari semua sudut untuk mendapatkan keterangan kes,” katanya semasa diminta mengesahkan perkara tersebut.

Kes tersebut sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 148 dan kemudiannya diklasifikasikan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 16 April lalu, mangsa bersama dua lagi lelaki berumur lingkungan 30-an dan 40-an cedera parah dalam rusuhan tersebut.

Punca kejadian disebabkan masalah pembahagian keuntungan perniagaan sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati. — DayakDaily